Tidak hadir sekolah, ibu bapa terima SMS
kosmo....14/7/2011

IBU bapa sentiasa ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak.  Mereka merupakan insan yang memerlukan bimbingan agar menjadi orang  berguna kepada negara dan bangsa pada masa hadapan.
Melalui pendidikan awal, keperibadian anak-anak ini dapat dibentuk  untuk memastikan mereka menjadi seorang insan yang dapat membanggakan  kedua ibu bapa sekaligus menyumbang kepada negara.
Bagaimanapun, di sebalik tugasan harian yang dibebani ibu bapa,  kadang kala menyukarkan pemantauan terhadap gerak geri anak-anak  terutamanya apabila melangkah ke alam persekolahan sehingga mereka  terdedah kepada gejala ponteng sekolah yang seterusnya menyumbang kepada  masalah sosial.
Menyedari kepentingan pendidikan dapat membantu pembentukan  keperibadian anak-anak, syarikat bumiputera Mobile Biz Network Sdn. Bhd.  telah membangunkan aplikasi kehadiran m-Attendance yang dapat  memudahkan ibu bapa memantau dan berkomunikasi bersama guru mereka. 
Pengarah Urusan Mobile Biz Network Sdn. Bhd., Latif Kachong, berkata,  sistem aplikasi kehadiran m-Attendance dibangunkan atas dasar kesedaran  tentang pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya  sistem aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta e-mel dalam  trasformasi pendidikan.
"Aplikasi yang mesra pengguna dan menggunakan platform komputer  tablet Apple iPad ini dapat mengurus kehadiran pelajar dengan cepat,  cekap dan sistematik.
"Ia juga tidak membebankan guru-guru malah memudahkan dan  mengurangkan tugasan guru dalam mengurus kehadiran pelajar-pelajar  mereka dengan lebih efisien," katanya ketika ditemui Kosmo!.

LATIF turut turun padang untuk  memberi pendedahan mengenai aplikasi m-Attendance kepada guru-guru SMK   Kijal, Kemaman, Terengganu. 
Selain daripada itu, Latif memberitahu, penggunaan sistem aplikasi  berkenaan juga dapat memupuk hubungan dua hala antara guru dan ibu bapa  dengan lebih mudah serta berkesan.
Katanya, sistem aplikasi tersebut bertindak menghantar khidmat  pesanan ringkas (SMS) kepada ibu bapa memaklumkan status kehadiran anak  mereka ke sekolah sebaik sahaja guru menanda kedatangan pelajar-pelajar.
"Dengan cara ini, ibu bapa akan mengetahui sama ada anak mereka  berada di sekolah atau sebaliknya. Ia sekali gus dapat membantu ibu bapa  dalam memantau anak dengan lebih cepat terutamanya apabila mereka  bertindak ponteng sekolah dan sebagainya.
"Sistem ini juga dapat membantu memantau keselamatan anak-anak kerana  terdapat ibu bapa yang terpaksa memulakan tugasan mereka pada awal  pagi. 
"Apabila menerima SMS daripada guru, ibu bapa ini boleh mengetahui  sama ada anak mereka selamat sampai di sekolah dan memulakan  pembelajaran," terangnya.
Konsep m-Attendance 
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Produknya, Hazwan Abu Hassan,  memberitahu, ibu bapa akan menerima SMS setiap hari sekitar 7.35 pagi  bagi memaklumkan jika anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah. 
"Penggunaan aplikasi ini sangat mudah dikendalikan oleh sesiapa  sahaja. Sebaik memasuki kelas, guru hanya perlu membuka aplikasi  tersebut di iPad dan menandakan kehadiran pelajarnya, secara automatik  senarai pelajar yang tidak hadir ke sekolah akan dihantar menerusi SMS  dan e-mel kepada ibu bapa.
"Bagi memudahkan lagi ibu bapa, mereka juga boleh membalas SMS  berkenaan untuk memaklumkan sebab ketidakhadiran anak mereka jika  pelajar sakit atau ada sebab lain. Malah, ia boleh dibaca pengetua  melalui e-mel untuk tindakan selanjutnya. Melalui teknologi push e-mail, mesej tersebut juga boleh dibaca di telefon pintar," jelas Hazwan.
Tambahnya, rekod kehadiran pelajar dalam kelas berkenaan turut akan  dikemas kini dan disalurkan ke pejabat sekolah untuk melancarkan lagi  tugasan harian guru-guru dalam memberi pembelajaran kepada pelajar.
Lebih terperinci, aplikasi mesra pengguna itu turut dilengkapi  maklumat pelajar seperti profil pelajar, rekod akademi, laporan  disiplin, rekod ujian termasuklah berat dan tinggi pelajar.
Kelebihan aplikasi 
"Dengan aplikasi ini, ibu bapa akan merasa selamat kerana mengetahui  bahawa anak-anak mereka telah pergi ke sekolah dan bukannya berada di  luar kawasan sekolah. 
"Ia sekali gus dapat mengawal gejala ponteng sekolah malah dapat mengeratkan hubungan antara guru, pelajar dan ibu bapa. 

GURU-GURU SMK Kijal asyik menggunakan iPad untuk membiasakan diri dengan aplikasi m-Attendance. 
"Kelebihan lain yang dapat diperoleh melalui sistem aplikasi ini  adalah ibu bapa dapat mengetahui markah dan keputusan ujian anak-anak  mereka menerusi SMS dan e-mel yang dihantar selepas ujian," katanya.
Aplikasi m-Attendance yang mengambil masa kira-kira satu tahun untuk  dibangunkan itu turut menyalurkan maklumat mengenai aktiviti dan program  sekolah kepada ibu bapa atau penjaga dengan cepat, mudah dan kos  efektif.
Ia juga dapat memberikan kemudahan kepada guru ketika hari  menandatangani kad laporan pelajar kerana guru kelas tidak perlu lagi  membawa buku rekod pelajaran dan ko-kurikulum. 
Ini kerana semua butiran pelajar sudah terdapat di dalam iPad apabila membuka aplikasi tersebut.
"Dalam pada itu, aplikasi ini turut didatangkan dengan sistem  HomeWorkAlert. Guru akan menghantar SMS kepada ibu bapa untuk  memaklumkan tentang kerja sekolah yang telah diberikan kepada pelajar  agar dapat dipantau dengan mudah.
"Selain sistem kehadiran m-Attendance, pihak sekolah juga dibekalkan  dengan sistem SMS Aduan m-Center yang membolehkan ibu bapa dan orang  ramai membuat sebarang aduan atau memberi cadangan dan pandangan kepada  pihak sekolah dengan menghantar SMS," katanya.
Hazwan menambah, pihak sekolah juga mempunyai sistem SMS hebahan  sendiri bagi memaklumkan aktiviti dan program sekolah seperti hari  sukan, peringatan tarikh peperiksaan, makluman tunggakan yuran,  mesyuarat dan sebagainya.
Itu adalah salah satu langkah pengintegrasian ICT dalam proses  pembelajaran dan pengajaran selaras dengan tuntutan transformasi  pendidikan dalam memartabatkan pendidikan negara.
Projek perintis
"Sebagai permulaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Kemaman,  Terengganu telah menjadi perintis dalam penggunaan aplikasi ini.
"Kita telah membekalkan sebanyak 41 iPad untuk guru-guru kelas di sekolah berkenaan," katanya.
Selain daripada Apple, dia memberitahu, pihaknya juga mendapat  sokongan kerajaan negeri Terengganu yang sememangnya memberi penekanan  terhadap pendidikan.
"Selepas tiga bulan tempoh percubaan, jika mendapat maklum balas baik  daripada guru dan ibu bapa, kami akan meneruskan usaha ke sekolah  seterusnya iaitu SMK Kompleks Seberang Takir, Terengganu dengan  menggunakan iPad2," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan