29 Rejab 1432H. [MOD] -
SUDAH  lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang  disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita. Allah memberi  jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin  iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)
Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.
Bukannya  konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa  jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang  semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.
* Jenis Pertama
Hari  ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak  tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh  kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.
* Jenis Kedua
Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.
Jadi,  golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi  baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria,  berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.
Orang  ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak  rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan  tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam  keadaan derhaka kepada Allah.
* Jenis Ketiga
Golongan  yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap  bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati  dalam solat itu.
Fikirannya  masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat.  Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika  dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam  solat.
* Jenis Keempat
Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.
Sesekali  dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam  solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.
Apabila  teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa  hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam  solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.
Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.
* Jenis Kelima
Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.
Hati  dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga  pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu  tidak mempengaruhi so latnya.
Walaupun  dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan  seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih  dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.
Sebenarnya  banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima  tahap ini rasanya sudah boleh muhasabah diri mengenai tahap solat yang  kita lakukan.
Jika  kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum  selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.
Ibadat  solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk  dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat  terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat  kita akan berlangsung sebagai mi’raj.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan