“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw suri tauladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhirat dan dia banyak menyebut Allah” (al-Ahzab:21)
Begitulah firman Allah yang menunjukkan bahawa susuk tubuh mulia seorang guru teragung untuk seluruh umat manusia yang tidak pernah kenal erti penat lelah dan putus asa dalam mendidik jiwa manusia dengan Islam sehingga kita merasakan keindahan Islam ini sehingga sekarang.
Kisah Hidup
Muhammad bin Abdullah atau Nabi Muhammad saw. dilahirkan dengan keadaan serba kekurangan. Ayahnya wafat ketika baginda masih berada dalam kandungan ibunya, kemudian ibunya pula wafat ketika dalam perjalanan pulang dari melawat kubur bapanya. Abdul Muttalib, datuknya pula wafat ketika baginda sangat memerlukan kasih sayang sebuah keluarga pada usianya 8 tahun, hanya Allah yang tahu hikmah di sebalik peristiwa yang memeritkan ini. Baginda dijaga pula oleh bapa saudaranya yang sangat mencintai dirinya iaitu Abu Talib.
Ketika mendapat wahyu pertama daripada Allah di Gua Hira’ tempat dimana baginda mengasingkan diri daripada perbuatan jahil kaumnya dan untuk berkhalwat bersama Tuhannya. Menggigil seluruh tubuhnya ketika pulang ke rumah dan diselimuti oleh Siti Khadijah isterinya yang banyak berkorban harta benda demi Islam.
Sejak dari itulah perjuangan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh insan mulia ini dari dulu sehingga kini seluruh umat manusia mengkaguminya sebagai seorang tokoh yang sudah mengubah dunia.
Pengorbanan
Begitu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah saw untuk diteruskan oleh kita umatnya. Bagaimana Rasulullah mengajar kita erti kesabaran dalam menghadapi rintangan dalam sebuah pekerjaan, mengajar kita beramal dengan segala kudrat yang ada pada kita dan mengorbankan apa sahaja yang termampu untuk menyebarkan agama mulia ini.
Lihat sahaja peristiwa hijrah yang menyaksikan Rasulullah terpaksa meninggalkan kampung halaman yang sangat dicintainya kerana cintanya baginda kepada Islam dan umatnya. Ketika peristiwa hijrah ke Thoif yang menyaksikan kesabaran yang ditunjukkan oleh insan mulia ini walaupun diherdik dan disakiti oleh penduduk Thoif sehinggakan darah keluar dari kepala baginda sehingga ke buku lalinya.
Baginda sentiasa berada bersama-sama umatnya dalam keadaan senang mahupun susah. Ketika Perang Uhud yang menyaksikan Rasulullah saw dihimpit dengan serangan daripada pihak musuh sehinggakan patah dua batang gigi Rasulullah saw terkena panahan daripada musuh. Baginda turun bersama-sama tenteranya untuk menggali parit ketika Perang Khandak/ Ahzab. Baginda juga bersama-sama mengikat perut yang lapar bersama pengikutnya, biarlah dia orang yang pertama merasakan kelaparan tersebut.
Alangkah besarnya pengorbanan yang ditunjukkan kepada kita oleh susuk tubuh guru terangung sepanjang zaman ini. Begitu bersungguhnya baginda dalam perjuangan mendidik manusia menuju ke jalan Allah swt..
Wafatnya Insan Mulia
Ketika umat Islam masih memerlukan bimbingannya, Allah lebih sayangkan Baginda. Ketika itu terasa seperti dunia ini terlalu suram, sahabat-sahabat tidak tertahan dengan pemergiannya, Umar yang dianggap sebagai seorang yang garang akhirnya menitiskan air mata kesedihan melihat sekujur tubuh yang mulia yang tidak bermaya menunggu panggilan daripada Allah.
Sebelum baginda menghembuskan nafas terakhir, sempat baginda membisikkan sesuatu kepada Saidina Ali, sepupu yang sangat dikasihinya. Dirikan solat, lindungilah kaum yang lemah dan umatku, umatku, umatku. Akhirnya baginda menghembuskan nafas terakhirnya di atas pangkuan Aisyah. Bergenang air mata seluruh umat Islam ketika itu mengiringi pemergian seorang insan yang sangat mulia dan seorang guru teragung yang banyak mengajar kita tentang kehidupan dan perjuangan menegakkan yang haq dan meruntuhkan yang batil.
Ya Allah kami tahu kami banyak melakukan dosa kepadaMu dan banyak meninggalkan suruhanMu. Ampunkan dosa kami, dan limpahkan rahmatMu keatas junjungan besar kami Nabi Muhammad saw dan berikan baginda kedudukan yang terbaik di sisimu dan kurniakan kami peluang untuk bertemu dengannya suatu hari nanti, sesungguhnya kami sangat merinduinya.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah nabi dan juga guru teragung buat kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan